Kenapa saya tidak klik pada ‘Like’ di FB page ‘1M Malaysians Reject 100-storey Mega Tower’

25 10 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Rasanya klik pada butang ‘Like’ di Facebook page ‘1M Malaysians Reject 100-storey Mega Tower’ lebih mudah daripada meneliti dan memahami apa isu yang sebenarnya. Mungkin juga ada salah kerajaan/PNB di sini sebab lambat memberikan penerangan mengenai projek tersebut. Tapi nak buat macam mana, ada yang kata rakyat sekarang dah pandai meneliti dan memahami situasi semasa. “Biar mereka buat pilihan, biar mereka buat ‘judgement’”.Harus diingat juga judgement dibuat berdasarkan maklumat. Untuk dapatkan judgement yang betul kena lah ada maklumat yg betul.

Dulu masa nak dibina Jambatan Pulau Pinang, Putrajaya dan KLCC ramai yang bising. Membazir duit rakyat, mengayakan kroni, dan macam-macam lagi label-label yang negatif (dan tak ada bukti). Tapi sekarang ni ada pulak yang berangan nak ‘menawan Putrajaya’. Bila hujung minggu dibawa juga keluarga ke KLCC kemudian bangga bila pelancong asing puji menara berkembar Petronas.

Seperti yang PNB umumkan, projek Menara Warisan tak akan gunakan duit kerajaan ataupun duit pelabur dana PNB. Pada hemat saya sudah tentulah PNB akan gunakan mekanisme financing yg lain. Saya ada ramai rakan-rakan yang bekerja di PNB. Mereka ini bukan calang-calang lulusan. Mereka anak-anak Melayu yang bijak pandai. Sudah tentu PNB sudah buat studies tentang projek tersebut. Projek RM 5 billion mana boleh hentam kromo atau main tenyeh atas kertas.

Jadi saya tak nampak masalahnya di sini. Ada yang kata “Kenapa tak buat rumah kos rendah untuk rakyat? Kalau dah banyak duit kenapa tak buat jalan-jalan di kampung, sambungkan elektrik atau air ke rumah penduduk?”

Saudara saudari, PNB adalah organisasi yang mengurus dana pelabur. Tugas pengurus dana yang paling utama ialah untuk bagi pulangan kepada pelabur. Jadi PNB hanya akan buat projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pelabur. Projek yang ‘feasible’ kata orang. Projek rumah kos rendah, perbaiki jalan kampung, elektrik, air dll bukanlah projek yang boleh mendatangkan keuntungan bagi PNB. Projek-projek yang tidak boleh mendatangkan keuntungan kepada sektor swasta akan disediakan oleh kerajaan. Sebab itulah kemudahan, air, elektrik, jalanraya dll disediakan oleh kerajaan.

Dalam ekonomi, kemudahan untuk rakyat yang berisiko tinggi pulangannya dan susah nak dapat keuntungan dipanggil sebagai ‘public goods’. Contoh public goods ialah perkhidmatan bas, keretapi, LRT dan jalanraya. Ini disebabkan kemudahan tersebut memerlukan maintenance yang tinggi manakala tambang atau harga yang dicaj kepada pengguna tak boleh terlalu tinggi. Sebab itu kita lihat LRT dan KTMB hidup cukup-cukup makan sahaja. Disebabkan itu, projek-projek membina infrastruktur dibina dan ditanggung oleh kerajaan.

Seperti yang diumum dalam Bajet 2011, akan ada banyak projek infrastruktur atau prasarana untuk rakyat yang menggunakan konsep Public-Private Partnership (PPP). Ini bermaksud kerajaan akan tanggung sebahagian kos dan pelabur/swasta akan tanggung kos yang selebihnya (tak semestinya 50-50). Dengan cara ini kerajaan dapat kurangkan perbelanjaan dan hutang untuk membiayai kos projek selain menggalakkan dana pelabur masuk ke dalam negara dan kemudahan di urus dengan lebih cekap oleh pihak swasta. Sebagai contoh, projek MRT yang bakal dilaksanakan akan menggunakan konsep ini. Dana yang dapat dijimatkan daripada konsep ini boleh disalurkan kepada tujuan yang lain.

Kita juga tak boleh nafikan kesan ‘spill over’ daripada projek mega seperti ini. Apabila dana dibelanjakan untuk satu-satu projek yang berimpak tinggi, ramai yang akan dapat manfaatnya. Syarikat yang mendapat kontrak akan beri kepada sub-kontraktor. Pekerja-pekerja sub-kontraktor, firma arkitek, firma quantity survey, syarikat pengangkutan dan syarikat-syarikat yang bekalkan segala macam bahan mentah untuk projek akan dapat manfaat, termasuklah makcik yang berniaga nasi lemak dan kuih-muih berdekatan dengan tapak pembinaan. Projek sedemikian sudah tentu akan melibatkan beribu pekerja. Pekerja-pekerja yang dapat manfaat akan belanjakan duit yang mereka dapat kepada keluarga mereka. Dengan ini ekonomi akan berjalan dengan sebab projek tadi. Ini yang dimaksudkan dengan ‘spill over’ effect.

Umpama seorang ayah yang dapat bonus. Diagihkan duit tadi kepada isteri, anak-anak di sekolah dan universiti, mak dan ayah di kampung. Maka anak-anak akan belanja untuk keperluan mereka, isteri akan membeli-belah, begitu juga mak dan ayah di kampung. Maka semua dapat manfaat bonus yang diperolehi si ayah tadi, termasuk kedai mamak tempat anak-anak tadi makan roti canai. Begitulah juga kesan daripada projek mega.

Apa yang kita mahukan ialah pembangunan serentak di bandar dan luar bandar. Kalau nak tunggu satu projek setahun, lambat lah ekonomi kita nak bersaing. Pelabur pun nak tengok sama ada kerajaan berusaha sedaya upaya sediakan prasarana untuk rakyat. Sama ada kerajaan benar-benar sediakan peluang ekonomi untuk rakyat.

Dengan pembentangan ETP (Program Transformasi Ekonomi) oleh PM semalam, saya harap dapat membuka mata kita semua akan peluang-peluang yang bakal ada untuk kita dan anak cucu kita. Saya selalu bertanya kepada diri apa yang boleh saya sumbangkan untuk negara dan apakah saya tidak mahu ambil bahagian dalam kek ekonomi menjelang 2020? Eloklah kita tukar mindset melihat sesuatu pada sudut positif dahulu sebelum melihat dari sudut yang negatif.

Kerajaan dah sahut seruan rakyat. Bila rakyat nak sahut seruan kerajaan?

Sekian.